UMNO JOHOR DIMINTA TIDAK TERPERANGKAP ISU GANGGU PERJALANAN PARTI

JOHOR BAHRU, 7 Feb – Anggota UMNO Johor diminta untuk terus bergerak dan tidak terperangkap dengan sebarang isu yang boleh mengganggu perjalanan parti di negeri ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesemua isu yang timbul boleh diselesaikan, bagaimanapun masalah persepsi perlu diatasi di peringkat kepimpinan parti dan juga akar umbi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai amanat yang disampaikan kepada UMNO Johor pada perjumpaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan semangat perpaduan dalam anggota UMNO sejak dahulu hingga sekarang mampu mengatasi permasalahan yang timbul.

“UMNO sebelum ini juga pernah berhadapan dengan cabaran-cabaran yang lebih hebat lagi, namun semangat perpaduan anggota parti dapat diwujudkan dengan baik, maka permasalahan itu dapat diatasi dan persepsi itu bertukar daripada negatif kepada positif,” katanya.

Mengulas mengenai pendirian UMNO Johor terhadap isu kepimpinan parti, Timbalan Perdana Menteri itu berkata ia merupakan pendirian yang baik.

“Ini merupakan satu pendirian yang baik daripada UMNO Johor dan saya yakin pihak kerajaan negeri dan penerimaan di bawah terutama akar umbi yang datang juga memberikan respons yang positif,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya berkata UMNO Johor menerima keputusan Peguam Negara terhadap siasatan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Besar Johor itu turut berharap keputusan itu akan dihormati semua pihak.

Selain itu, Ahmad Zahid juga menghargai dokongan anggota UMNO Johor yang menyatakan ketaatan pada parti dan kepimpinan adalah menjadi tonggak kepada asas pegangan mereka.

Beliau dalam lawatan kerjanya sehari ke Johor, mengadakan perjumpaan tertutup bersama Badan Perhubungan UMNO Johor, sebelum menghadiri Majlis Jamuan Makan Tengahari dan Majlis Ramah Mesra bersama lebih 1,000 ahli UMNO Johor.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial