UMNO JOHOR SEDIA JADI PENCETUS KEBANGKITAN UMNO

JOHOR BAHARU:  Umno Johor bersedia menjadi pencetus kebangkitan Umno bagi mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata bagi tujuan berkenaan, parti telah memulakan gerak kerja dan merencanakan pelbagai usaha bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Hasil resolusi daripada Konvensyen Umno Johor menjadi sebahagian daripada proses menjayakan gelombang kebangkitan itu dan ia tidak berhenti setakat itu kerana kita mempunyai perancangan untuk memastikan asas perjuangan parti diterima rakyat," katanya.

Beliau  berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Konvensyen Umno Johor di sini.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata bagi menjayakan hasrat itu, 26 Bahagian Umno negeri perlu memainkan peranan dengan memberi perhatian perkara berkaitan kebangkitan Umno manakala setiap anggota parti perlu mengukuhkan perpaduan bagi menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang.

Beliau berkata langkah Umno Johor mewujudkan institut penyelidikan dan pemikir dipengerusikan Ketua Umno Bahagian Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad juga turut dilihat dapat menyumbang kepada kejayaan usaha kebangkitan itu.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata Konvensyen Umno Johor yang berakhir hari ini mencapai beberapa resolusi bagi manfaat orang Melayu terutamanya berkaitan penglibatan orang Melayu dalam Industri Kecil dan Sederhana, pemilikan rumah dalam kalangan belia serta memperkasa sekolah agama Johor.

"Resolusi ini adalah hasil bengkel yang diadakan sepanjang dua hari berlangsungnya konvensyen dan ia adalah keputusan yang dibuat secara bersama oleh semua perwakilan daripada 26 bahagian Umno di negeri ini," katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial