UMNO Johor serah pada pihak berkuasa:MB

JOHOR BAHRU: UMNO Johor menyerahkan semua kepada pihak berkuasa berhubung insiden kekecohan antara sekumpulan individu dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) di Taman Megah Ria, Masai, dekat sini, kelmarin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’  Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjur acara berkenaan juga seharusnya boleh menjangka berlakunya insiden seumpama itu selepas memaklumkan penganjuran di laman sosial.

"Mereka (pembangkang) hendak buat program (di Pasir Gudang), tapi menguar-uarkan di laman sosial. Jadi mungkin mereka mengundang semua untuk datang ke program.

"Saya berada di Kuala Lumpur (ketika insiden berlaku). Mungkin terdapat ucapan provokasi dan sensitif, maka berlaku insiden berkenaan. Tetapi saya percaya kepada pihak berkuasa, biarlah perkara ini ditentukan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, ahli UMNO bukan 'robot' yang boleh disuruh atau diatur untuk melakukan kejadian seumpama itu.

"Kita ada 21,000 ahli UMNO di Pasir Gudang dan mereka memang bersemangat tinggi serta peka dengan keadaan yang berlaku di sekeliling.

"Mereka harus sedar bahawa mereka datang ke kawasan yang memberi sokongan kuat kepada Barisan Nasional (BN). Mereka memaklumkan hendak masuk ke kawasan, jadi ada yang sudah bersedia menunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Berbuka Puasa anjuran Pusat Pembangunan Usahawan Johor (EDC) di sini semalam.

Beliau juga secara sinis menyatakan pemimpin PR tidak perlu hebah kepada umum, sebaliknya datang sahaja ke destinasi penganjuran program.

 Terdahulu, media melaporkan insiden kekecohan melibatkan sekumpulan penyokong sebuah parti politik dengan pemimpin PR.

Malah kumpulan penyokong berkenaan memprotes kehadiran Penasihat DAP, Lim Kit Siang ke kawasan berkenaan sehingga berlakunya insiden tidak diingini.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial