UMNO Mahukan Inspirasi Johor – Hishammuddin

JOHOR BAHRU, 10 Nov – Johor mesti menjadi inspirasi untuk UMNO di seluruh negara dalam persediaan ke arah Pilihanraya Umum ke-14.

Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, UMNO Johor memikul tugas yang besar selaku nadi dan nafas UMNO.

“Usaha memastikan kemenangan UMNO dalam pilihanraya akan datang mesti bermula di sini. Jika kita ingin UMNO terus memerintah, maka usaha mengekalkan kedudukannya mesti bermula di tanah kelahiran parti keramat ini.

“Johor mesti menjadi inspirasi untuk UMNO di seluruh negara, bahawa ia bukan sahaja mampu mengekalkan kedudukannya, malah boleh memerintah dengan cemerlang.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Johor 2016, di sini.

img_5876

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday serta barisan kepimpinan sayap dan bahagian UMNO Negeri Johor.

Hishammuddin turut memuji kesatuan yang ditunjukkan UMNO Johor, kerana membuktikan kesetiaan mereka adalah kepada parti dan perjuangan bangsa, dan bukan personaliti individu.

“Kesatuan ini menunjukkan kematangan dan pemikiran kita yang berpandangan jauh serta berobjektif, bersandarkan kepada kepentingan yang lebih besar.

“Walau apa sekalipun gelora yang melanda UMNO Johor, ternyata ia mempunyai cara yang sangat rasional untuk menanganinya, tidak pernah mengikut emosi, terbawa dengan sentimen yang memecah-belahkan, sebaliknya berhadapan menggunakan ‘Cara Johor’.

Tambah Hishammuddin, dengan kesengitan yang dijangkakan pada PRU akan datang, UMNO perlu memastikan kesediaan yang rapi dan tidak boleh selesa.

“Ia akan menjadi pilihanraya yang menentukan sama ada UMNO kekal berkelangsungan sebagai parti pemerintah, kita tidak boleh selesa dan dalam penafian. Kita kena bangkit dan terima gambaran serta realiti yang sebenar agar kita akan dapat bertindak dan membuat persediaan yang sewajarnya.”

“Masa depan UMNO sebenarnya berada di sini, Johor adalah nadi dan nafas UMNO. Ujian yang dihadapi mesti disahut dengan positif, wadah keramat UMNO ini mesti dipertahan.”

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial