UMT DIPELAWA BUKA CAWANGAN DI JOHOR

GELANG PATAH: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dipelawa membuka kampus cawangannya di negeri ini bagi mengembangkan kajian potensi berkaitan marin.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata kedudukan georgrafi Johor yang memiliki pesisir pantai yang panjang berpotensi untuk dibangunkan.

Katanya lagi, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang fokus ke arah teknologi marin, adalah wajar bagi UMT membuka cawangannya di Johor sekali gus memberi peluang kepada anak Johor untuk menuntut di situ.

“Dengan keluasan pantai johor, mungkin wajar untuk UMT membuka cawangan di Johor dengan demikian secara tak langsung memfokuskan kajiannya di Johor, membolehkan anak-anak Johor masuk UMT dan seterusnya berkhidmat kembali ke negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Marin bersama Komuniti Johor di sini semalam.

Katanya, Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan Dasar Alam Sekitar Johor bagi melaksanakan pembangunan yang seimbang dan lestari yang memerlukan kepakaran,pandangan dan input daripada UMT.

“Kita sedang ke arah itu dan sudah tentulah kita fikir tentang input daripada UMT khususnya naib canselornya yang memang pakar dalam bidang alam sekitar.

“UMT boleh bantu untuk sama-sama menjayakan hasrat Kerajaan Negeri yang hendak membangun dan pada masa yang sama menjaga alam sekitar termasuk kawasan marin,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Canselor UMT; Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komooo, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri; Jais Sarday dan ADUN Nusajaya ; Dr Zaini Abu Bakar.

Facebooktwitter
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial