UNDIAN PIALA MALAYSIA : PAHANG, JDT SELESA, SELANGOR DALAM KUMPULAN MAUT

keputusand.transformed

PETALING JAYA: Penyandang juara, Pahang dan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan laluan selesa memburu kejuaraan Piala Malaysia musim ini selepas diundi dalam kumpulan mudah. Sebaliknya, pula bakal dihadapi oleh pasukan Selangor dalam usaha menggapai misi gelaran ke-33 mereka, apabila diundi dalam kumpulan yang disifatkan sebagai `kumpulan maut'.

Pahang yang juga naib juara Liga Super diundi dalam Kumpulan D bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pulau Pinang dan PKNS FC manakala JDT diletakkan bersama Perak, Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Kumpulan B. Selangor pula bersama bekas juara, Kelantan selain FELDA United dan T-Team dalam Kumpulan C manakala satu lagi bekas juara, Kedah, bersama juara Piala FA, Lions XII selain Terengganu dan JDT II dalam Kumpulan A. Majlis undian pertandingan bola sepak paling prestij dan tertua di negara itu diadakan di sebuah hotel, hari ini. 

Perlawanan pertama peringkat kumpulan dijadualkan pada 11 September ini. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih mengekalkan format lama dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak secara automatik ke peringkat suku akhir secara kalah mati. 

Perlawanan akhir dijangka berlangsung di Stadium Shah Alam. Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Pahang FC, Fahrizal Hasan mengulas keputusan undian itu berkata Piala Malaysia adalah platform terbaik untuk pasukan itu menebus kekecewaan di Piala FA dan Liga Super musim ini.

 "Piala Malaysia ini adalah pertandingan yang berprestij dan semua pasukan ingin membuktikan sesuatu. Kami perlu berhati-hati dengan cabaran setiap pasukan.

 "Contohnya Pulau Pinang yang masih segar daripada kejayaan layak ke Liga Super, pasti semangat pemain mereka berada pada tahap tinggi dan kami perlu serius untuk pastikan layak ke pusingan kalah mati," katanya kepada pemberita.

 Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang membantu pasukannya menjuarai Liga Perdana, sekali gus membawa pasukan itu ke saingan Liga Super musim depan, berkata semua pasukan berpeluang merangkul gelaran kerana saingan kali ini agak terbuka. 

Dia yang lebih selesa meletakkan pasukannya sebagai 'underdog' bagaimanapun mahu anak buahnya meneruskan rentak konsisten di samping memperkuatkan mental ketika bersaing dengan pasukan lain khususnya dari Liga Super yang mempunyai mutu permainan lebih tinggi. 

"Dalam bola sepak, tiada istilah mudah kerana setiap pasukan ingin kemenangan dan seperti yang kita tahu, Piala Malaysia adalah gelaran yang diinginkan semua pasukan. "Bagi Kedah, kita harap dapat layak ke peringkat kalah mati, dan di situ setiap pasukan mempunyai peluang yang sama rata untuk mengalahkan lawan masing-masing… pasukan bawah pun boleh menang," katanya. Terdahulu, FAM mengumumkan Telekom Malaysia sebagai penaja utama Piala Malaysia sehingga tahun 2017. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial