Unit JKR Ronda Permudah Urusan Selenggara Jalan-Jalan Negeri

img_0822

 

GELANG PATAH, 7 Nov – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini melancarkan unit JKR Ronda, iaitu unit yang ditubuhkan bagi membantu mempermudahkan urusan menyelenggara jalan-jalan negeri.

Inisiatif yang dilaksanakan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor itu merupakan langkah terbaik bagi memastikan kemudahan jalan-jalan negeri sentiasa dalam keadaan baik dengan pemantauan yang dilakukan secara berterusan.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Ismail Karim dan Pengarah JKR Negeri Johor, Asri Arjan.

Menurut Hasni, unit JKR Ronda yang terdiri daripada empat orang bagi setiap pasukan itu akan memantau jalan-jalan negeri dengan sasaran 100 kilometer sehari.

“Ia akan memastikan setiap kemudahan dan penyelenggaraan jalan seperti jalan berlubang, longkang tersumbat atau papan tanda arah dipantau secara konsisten.

“Setiap daerah akan mendapat satu unit kenderaan, dan ini bermakna sebanyak 10 buah unit kenderaan akan terlibat bagi tujuan tersebut,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar turut merasmikan Kompleks JKR Johor bernilai RM45 juta yang menempatkan JKR cawangan kejuruteraan elektrik, kejuteraan mekanikal dan perolehan.

Menurut Mohamed Khaled, dengan penyediaan infrastruktur yang lengkap dan ruang kerja yang kondusif, ia diharap dapat meningkatkan motivasi dan semangat bekerja kakitangan di situ.

“Malah, dengan adanya sebuah Pusat Latihan JKR Johor, ia secara tidak langsung menjadi perangsang produktiviti kakitangan dalam menjalankan tugas,” katanya.

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial