Unit Pengangkutan Awam ditubuhkan di setiap PBT

PASIR GUDANG: Satu Unit Pengangkutan Awam akan ditubuhkan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu dibuat bagi mengatasi masalah pengangkutan awam di negeri ini sekali gus menjadikannya lebih efisien serta mesra rakyat.

Beliau berkata, unit berkenaan bertanggung jawab merangka pelan bagi menentukan laluan dan keperluan yang harus ada di setiap kawasan PBT di negeri ini.

“Pelan pengangkutan awam yang dirangka ini akan dijadikan rujukan oleh kerajaan Pusat bagi meningkatkan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan efisien.

“Ini perlu kerana setiap plan yang disediakan itu mengambil kira keperluan dan kehendak masyarakat di kawasan PBT berkenaan. PBT lebih tahu apa yang ada di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Kembara Ilmu di Dewan Taman Mawar, di sini semalam.

Terdahulu pada program tersebut, Mohamed Khaled menyampaikan bantuan pengangkutan awam kepada 100 pelajar dengan kad tanpa tunai sebanyak RM720 setahun.

Mohamed Khaled berkata, bantuan tersebut merupakan inisiatif di bawah program Kembara Ilmu yang diwujudkan bagi membantu meringankan beban keluarga pelajar dalam menghadapi kos sara hidup yang sedang meningkat.

“Menerusi bantuan ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos pembelanjaan harian para pelajar yang menggunakan bas sebagai pengangkutan untuk ke sekolah,” jelasnya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial