UNIVERSITI PERLU LENGKAP DENGAN BANDAR BAHARU – TUN M

mahathir_0

KAMPAR: Kewujudan universiti di sesuatu kawasan itu perlu dilengkapi dengan sebuah bandar baharu universiti, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ini bagi memastikan pelajar, ahli akademik dan masyarakat setempat mendapat manfaat daripadanya.

Katanya, di negara ini, tidak banyak universiti yang telah membawa kepada pembangunan untuk dijadikan sebagai sebuah bandar baharu.

"Kita selalu percaya kewujudan universiti yang dibina di sesuatu kawasan seharusnya mampu menjadi pemangkin dalam mewujudkan sebuah bandar baharu.

"Oleh itu, saya berharap semua universiti di Malaysia mampu dilengkapkan dengan bandar universiti," katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini.
 
Dr Mahathir menjadi tetamu kehormat pada sesi ketiga konvokesyen berkenaan yang turut menyaksikan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menerima ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains Perubatan) sebagai menghargai sumbangan dan kepimpinannya dalam bidang kesihatan awam, sains perubatan dan pengetahuan serta kaedah menghindari kegiatan penyalahgunaan dadah.

Seramai 2,281 graduan termasuk lima siswazah doktor falsafah, 48 sarjana dan 77 sarjana muda kepujian kelas pertama dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Majlis UTAR, Tun Dr Ling Liong Sik dan Presiden UTAR, Profesor Datuk Dr Chuah Hean Teik.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengingatkan masyarakat memilih dengan berhati-hati dalam meniru budaya negara barat yang mampu merugikan negara pada masa hadapan.

Namun, beliau berkata pada ketika ini, dunia sudah mula bergerak ke arah budaya negara Asia daripada negara Barat yang hanya mementingkan hak kebebasan semata-mata.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial