Usaha Jadikan Johor Kuasa Ekonomi Baharu Antara Fokus Bajet Johor 2017

img_0923

KLUANG, 13 Nov – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan bahawa negeri Johor bakal menjadi kuasa ekonomi baharu bagi negara apabila usaha secara besar-besaran untuk mencapai matlamat tersebut akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Beliau berkata, usaha ke arah itu juga akan membantu melonjakkan Johor menjadi negeri yang paling maju di selatan tanah air.

“Selain itu, dalam usaha menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan, Kerajaan Negeri meletakkan tiga tonggak utama dalam pelaksanaannya.

“Antaranya kita akan tentukan ia dapat membawa kemakmuran material, membantu mengatasi isu-isu sosial dan akhirnya dapat mengukuhkan keperibadian dan jati diri masyarakat di negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengulas mengenai sebahagian fokus utama yang bakal dibentangkan dalam Bajet Johor 2017 pada Khamis ini, selepas mengadakan lawatan kerja di daerah Kluang, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Datuk Md. Jais Sarday; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim dan Pegawai Daerah Kluang, Muhamad Fuad Radzuan.

Dalam lawatan kerja itu, seramai 117 orang penerima dikurniakan hak milik Tapak Gantian Setinggan KTM Kg. Sathiya dan Kumpulan G-Skim serta Surat Tawaran Rumah Mampu Milik Johor dan Mock-Cheque Ex-Gratia Setinggan KTM.

“Kurniaan tersebut merupakan tapak ganti bagi permohonan tapak rumah kediaman di Kg. Sathiya yang telah ditolak oleh kerajaan kerana tidak mendapat kelulusan dari Jabatan Teknikal pada tahun 2013.

“Ia juga melibatkan tapak ganti setinggan yang terkesan dengan Projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik dari Gemas ke Johor Bahru,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, Projek Landasan Keretapi yang menelan belanja sebanyak RM9 bilion itu turut mendapat peruntukan sebanyak RM400 juta daripada Kerajaan Pusat.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Lingkaran Tengah Bandar Kluang melibatkan kos sebanyak RM30 juta dan dijangka siap pada akhir tahun hadapan.

“Pembinaan laluan empat lorong sepanjang empat kilometer itu akan membantu menjimatkan masa perjalanan dan menyuraikan laluan trafik daripada Jalan Kota Tinggi, Jalan Mengkibol, Taman Muhibbah, Taman Intan dan Taman Delima,” jelasnya.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Pusat Bimbingan Muafakat Johor yang memberikan perkhidmatan tuisyen secara percuma kepada pelajar-pelajar di kawasan tersebut.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial