Usaha Kembalikan Bangunan HSA Kepada Bentuk Asal Keputusan Kerajaan Pusat – MB

KULAI, 6 Nov – Usaha bagi bangunan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru yang terbakar pada 25 Okt lepas, dikembalikan kepada reka bentuk asal adalah keputusan tertakluk di bawah kerajaan pusat.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata beliau sedar bangunan hospital itu unik dan bersejarah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Majlis Himpunan Bangsa Johor, Khamis lepas yang mahukan bangunan HSA dikembalikan kepada reka bentuk asal pada masa hadapan.

Baginda bertitah ini kerana bangunan hospital itu merupakan sebuah bangunan warisan di Johor yang mempunyai banyak sejarahnya tetapi malangnya rupa bentuk bangunan telah banyak diubah suai dan penambahan dilakukan.

Mohamed Khaled yang sebelum itu melancarkan Sambutan Hari Landskap peringkat negeri 2016 di Hutan Bandar, Bandar Putra Kulai di sini, semalam berkata kerajaan negeri juga menyokong seruan Sultan Ibrahim yang mahu melihat rakyat bersatu dan mengelak berpecah-belah akibat fahaman politik yang berunsurkan hasutan dan membenci kerajaan.

“Saya harap rakyat mengambil pandangan Tuanku itu sebagai satu nasihat oleh Sultan yang sangat mengambil berat dan sayangkan rakyatnya kerana baginda tidak mahu melihat masyarakat di Johor berpecah-belah, baginda mahukan pembangunan dan kemajuan berterusan,” katanya. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial