Usaha Tangani Denggi Perlu Kerjasama Semua Pihak

JOHOR BAHRU: Usaha menangani Denggi yang kian menular memerlukan kerjasama daripada semua pihak, tanpa berharap sepenuhnya kepada pihak kerajaan.

Menteri Besar, Dato' Mohamed Khaled Nordin, berkata pembabitan masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) amat dialukan dalam membantu mengurangkan kadar kematian dan penularan wabak ini.

Katanya, kerjasama diatara kerajaan dengan masyarakat dan NGO ini dilihat cara terbaik untuk memberi kesedaran kepada semua pihak terhadap bahaya Denggi.

"Memandangkan ancaman dan penyebaran penyakit ini semakin meningkat, kerajaan negeri merasakan campur tangan semua pihak melibatkan masyarakat adalah amat penting untuk menanganinya.

"Jadi, kerjasama daripada sektor awam mahupun swasta serta penglibatan komuniti setempat amat perlu untuk mengawal penyakit ini. Seperti yang dinyatakan dalam tema persidangan ini iaitu "Fight the Bite" dengan campur tangan masyarkat adalah senjata terbaik dan berkesan memerangi denggi pada masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Demam Denggi dan Kawalannya di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini.

Dalam ucapannya itu, Mohamed Khaled berkata menerusi pelaksanaan Pelan Suara Hati Johor, Kerajaan Negeri  turut menggariskan beberapa rancangan bagi mengurangkan ancaman penyakit berkenaan.

Jelasnya dua daripada aktiviti utama yang dirancang termasuklah melakukan pemeriksaan ke atas 10,000 kawasan perumahan selain mengadakan 800 aktiviti gotong-royong melibatkan masyarakat untuk tahun ini sahaja.

Selain itu,  jawatankuasa Combi telah ditubuhkan dan ia secara khususnya melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk mengatasi ancaman denggi.

"Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Exco Kesihatan dan Alam Sekitar  dan ia bertugas untuk menyelia dan memantau aktiviti yang berkaitan pencegahan denggi di 10 daerah dan telah menjangkau 100 jawatankuasa tempatan di kawasan yang dikenal pasti di seluruh negeri ini," katanya.

Mengikut statistik yang dikeluarkan, kes Denggi di Johor bermula Januari hingga Ogos 2014 mencatatkan jumlah sebanyak 3,236 kes dan melibatkan 16 kematian.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial