UTM Cadang PBT Cipta Alat Atasi Masalah Bekalan Air Bersih

 

 

1005_UTM
Ahmad Fauzi Ismail memegang bendera UTM ketika melepaskan Konvoi Mesin Rawatan Air ke Kelantan di Bangunan Canselori UTM, Skudai, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU, 9 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencadangkan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini supaya mencipta satu alat yang dapat mengatasi masalah bekalan air bersih semasa banjir atau kemarau.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, alat baharu itu perlu sesuai dalam semua keadaan bencana di negara ini kerana bekalan air bersih adalah satu keperluan asas.

“Air bersih adalah sumber utama kehidupan manusia, sekiranya berlaku bencana seperti banjir atau kemarau, maka bekalan air sedia ada akan terputus, apa yang perlu dilakukan ketika itu.

“Seharusnya setiap PBT dalam negara ini memikirkan soal tersebut dan mengambil langkah proaktif dengan menyediakan satu alat yang dapat membantu mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi Mesin Rawatan Air ke Kelantan di Bangunan Canselori UTM, Skudai, dekat sini hari ini.

Menurut Ahmad Fauzi, semua pihak seharusnya menjadikan kejadian banjir besar yang melanda negara, khususnya di Pantai Timur dua tahun lalu sebagai satu pengajaran, malah persediaan menghadapi kemungkinan itu lagi.

Sementara itu dalam majlis ter­sebut, UTM menerusi Pusat Penyelidikan Membran Termaju (Amtec) menghantar tiga mesin rawatan air yang mampu memproses 5,000 liter air terawat sehari dan 1,000 liter air sedia diminum sehari dengan kos setiap satunya bernilai RM60,000.

Projek itu, katanya, dibangunkan menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya dengan dana diperoleh daripada Kementerian Pendidikan Tinggi sebanyak RM360,000 menerusi Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip dan Program Transformasi Luar Bandar Strategi Lautan Biru Kebangsaan Empat.

Tambah Ahmad Fauzi, tiga buah mesin tersebut akan diletakkan di kawasan terjejas banjir di Kelantan sebelum ini iaitu masing-masing di Kuala Krai, Tanah Merah dan Kota Bharu.

“Sebanyak enam buah mesin rawatan air telah dibangunkan de­ngan geran daripada kementerian itu yang mana tiga akan dihantar ke Besut, Terengganu; Pekan, Pahang dan Kota Tinggi, Johor pada bulan depan,” ujarnya.

Mana-mana pihak yang berminat mendapatkan maklumat lanjut berhubung mesin rawatan air tersebut boleh menghubungi talian 019-7775545 atau 012-7322578. – UTUSAN

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial