VEP : 45,000 KENDERAAN DIDAFTARKAN PADA HARI PERTAMA

image (2)

JOHOR BAHRU – Hari pertama tempoh percubaan pelaksanaan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) ke atas kenderaan asing dari Singapura hanya menyaksikan sebanyak 45,000 kenderaan berkenaan didaftarkan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri,‎ Datuk Ir Hasni Mohammad mengakui sistem pendaftaran VEP masih memerlukan penambahbaikan terutama melibatkan pendaftaran kenderaan asing.  

"Buat masa ini, hanya 45,000 kenderaan asing sahaja yang telah berdaftar berbanding 500,000 kenderaan yang kita jangkakan. 

"Saya rasa tempoh dua minggu sejak 15 Ogos lalu tidak membolehkan kesemua kenderaan masuk dapat didaftarkan melalui atas talian ataupun kaunter," kata beliau kepada pemberita selepas membuat tinjauan di kaunter pendaftaran VEP di Bangunan Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Justeru itu, tempoh pendaftaran bagi VEP telah dilanjutkan sehingga 1 Oktober bagi membolehkan segala proses perlu seperti kaedah penyerahan kad pengenalan gelombang radio (RFID) dapat dibuat dengan sempurna dan kelulusan antara kedua negara dapat diperolehi, kata Hasni. 

"Ini bukan hanya untuk memberikan keselesaan kepada mereka yang berdaftar tetapi turut memastikan segala peraturan dan perundangan dipenuhi sepenuhnya," kata beliau. 

Beliau berkata, sebanyak 200,000 hingga 230,000 kenderaan pelbagai jenis melalui dua pintu masuk dalam tempoh seminggu. 

Hasni mengakui masih ada kelemahan dalam sistem atas talian dan penyebaran maklumat yang tidak meluas yang masih perlu diperbaiki. 

Antara cadangan kerajaan negeri bagi memudahkan VEP dapat dilaksanakan dengan lancar termasuk menyediakan lokasi mudah untuk pengambilan RFID seperti di kawasan rehat dan rawat Pandan dan Tanjung Kupang. 

Pendaftaran atas talian (online) bermula 15 Ogos dan pemilik kenderaan perlu membayar RM10 bagi yuran jalan raya, yang sah digunakan selama lima tahun, sebelum pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan RFID. 

Setelah berdaftar, kenderaan akan dibenarkan melalui pusat masuk ke Johor secara percuma selama sebulan – dari 1 September hingga 30 September – dan akan hanya dikenakan bayaran RM20 bagi VEP bagi setiap kemasukan mulai 1 Oktober. 

VEP dikenakan ke atas kenderaan persendirian penumpang, termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan serba guna sukan (SUV).

Kenderaan kerajaan, motosikal, bas awam dan teksi dikecualikan daripada bayaran tetapi masih perlu berdaftar dengan JPJ.   – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial