VEP : KENDERAAN ASING BOLEH DAFTAR ONLINE

image (6)

JOHOR BAHRU – Kenderaan asing boleh mendaftar di portal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tujuan pelaksanaan caj Permit Kenderaan Asing (VEP) sejak 15 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Arifin Che Mat, setakat ini pendaftaran melalui kaunter belum lagi dilaksanakan bagaimanapun kaedah itu akan diperkenalkan kemudian.

Menurutnya, proses penambahbaikan bagi tujuan pendaftaran berkenaan akan terus dilaksanakan dengan mengambil kira respons orang ramai supaya pelaksanaan VEP yang berkuat kuasa pada 1 Oktober ini akan berjalan lancar.

“Pendaftaran telah dibuka secara online menggunakan portal JPJ justeru, pemilik kenderaan asing dinasihatkan untuk mendaftar segera sebelum pelaksanaan VEP bermula. Kita tidak nafikan menerima rungutan mengenai proses dokumentasi berkenaan dan proses penambahbaikan akan dijalankan secara berterusan.

“Kita turut mewujudkan bilik gerakan untuk tindakan maklum balas berkenaan aduan bagi pelaksanaan VEP. Kita akui setiap sistem baharu diperkenalkan memerlukan masa untuk diperkenalkan, namun setiap masalah dihadapi ia akan diperbaiki bagi memudahkan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat JPJ Dengan Institut Memandu Zon Selatan, di Ibu Pejabat JPJ Johor, di sini, semalam. Hadir sama pemangku Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azmi Alias.

Arifin berkata, sebanyak 29 Institut Memandu terlibat dalam program berkenaan iaitu 29 daripadanya dari Johor, sembilan dari Negeri Sembilan dan enam dari Melaka.

“Zon selatan adalah program keempat bagi Ikrar Integriti Korporat (CIP) dijalankan JPJ. Sebelum ini kita telah adakan bagi Zon tengah,utara dan Pantai Timur sejak 31 Julai lalu dan kemudiannya akan ke Sabah serta Sarawak pada bulan depan.

“CIP adalah simbolik terhadap janji institut memandu terlibat berkaitan integriti dan menolak rasuah setakat ini sebanyak 106 institut telah melafazkan ikrar. Ia adalah salah satu usaha JPJ untuk mengekang rasuah diperingkat awal.

“Bayangkan jika wujud rasuah diperingkat institut memandu bagaimana pemandu yang akan  ‘dilahirkan ‘.  Sudah tentu ia memberi impak untuk agensi hadapan seperti JPJ untuk menjalankan usaha berkaitan keselamatan jalan raya,” katanya.

Bagaimanapun beliau memaklumkan masih belum institut memandu terlibat dalam isu berkaitan integriti dan rasuah termasuk anggota JPJ sebagai agensi awam yang berisiko mengenai isu berkenaan.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial