Wanita UMNO jangan hanya jadi pengikut

PASIR GUDANG: Ahli-ahli Pergerakan Wanita Umno diingatkan agar tidak sekadar menjadi pengikut dan membisu dalam memperjuangkan  bangsa Melayu.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, pergerakan itu perlu maju beberapa langkah ke hadapan, dan berani menyatakan pandangan mereka, bukan sekadar menjadi pengikut semata-mata.

“Pergerakan Wanita tidak lagi boleh hanya jadi pemerhati, bila bangsa masih bergulat dengan kemiskinan dan jurang keberadaan. Kalian tidak boleh berdiam diri, kalau rasuah jadi budaya atau misalnya amanah di khianati.

“Kalian tidak boleh hanya membisu bila parti, tidak lagi mengutamakan perjuangan bangsa Melayu tetapi digunakan untuk membela golongan tertentu atas nama kesetiaan pada parti. Atau disiplin kepartian mentaati pemimpin.

“Pergerakan Wanita mesti bergerak dengan lebih proaktif dan dominan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang, di sini semalam.

Mohamed Khaled berkata, wanita Umno perlu mengambil peluang dalam persidangan yang berlangsung bagi membincangkan dan mencari penyelesaian terhadap situasi yang melanda parti.

“Kita mesti memanfaatkan pertemuan kita, dengan mencari pencerahan dan jalan ke hadapan untuk segala permasalahan bangsa.

Maka kerana itulah, apa jua yang menghambat parti dari terus fokus untuk membangun bangsa harus kita selesaikan.

"Kita sama sekali tidak boleh membebankan parti dengan masalah yang bukan berpunca dari parti seperti IMDB, MARA, Felda dan pelbagai lagi,” katanya.

 

Tambah beliau lagi, walau pun ada isu-isu tersebut bukan berpunca daripada parti, tetapi ia memberi gambaran negatif kepada Umno.

“Sama ada suka atau tidak, kita harus menerima hakikat bahawa isu-isu tersebut, dampak negatifnya pada wibawa parti sangat mendalam sekali.

“UMNO sekarang berhadapan dengan krisis kredibiliti yang luar biasa. Ia bukan lagi krisis persepsi. Ia telah menular menjadi krisis kewibawaan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, ahli-ahli pergerakan wanita tidak perlu takut dalam menyuarakan pandangan mengenai perjuangan parti kerana parti Umno adalah milik semua.

“UMNO tidak akan ada nilainya jika tujuan kita bukan untuk kebaikan bangsa dan agama.

UMNO adalah wadah pengislahan bangsa. Ia institusi politik Melayu paling penting. UMNO bukan milik pemimpin. Ia milik kita semua. Jawatan tidak ada turun menurun.

“Kerana itulah kita harus tampil untuk menyatakan apa yang sebenar-benarnya terbuku di hati kita. Dan kepimpinan parti harus berlapang dada mendengar suara hati nurani pendukung parti," katanya.

Beliau menambah ahli-ahli parti perlu mengingatkan kepimpinan parti tentang tanggungjawab mereka.

"Mengingatkan mereka tentang pertanggungjawaban. Mengingatkan mereka tentang amanah. Mengingatkan mereka tentang nilai dan prinsip, yang selama ini menjadi jiwa dan nurani pergerakan parti kita,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial