WANITA UMNO PERLU BERJIWA BESAR – HASNI MOHAMMAD

PONTIAN – Pergerakan Wanita UMNO perlu berjiwa besar untuk terus membantu parti menjelaskan isu-isu semasa kepada ahli dan masyarakat di peringkat akar umbi supaya mereka mendapat gambaran yang jelas tentang isu berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, walaupun ketika ini banyak isu yang sedang melanda parti dan negara, namun pergerakan tersebut tidak harus mengambil sikap berdiam diri, sebaliknya membantu menjelaskan sesuatu perkara berdasarkan fakta dan maklumat yang tepat.

Sambil mengakui penyebaran maklumat menerusi media sosial cukup pantas, tetapi tidak semuanya informasi itu tepat, benar dan berasas serta memerlukan orang ramai untuk membuat penilaian terlebih dahulu.

“Wanita UMNO seperti juga sayap yang lain merupakan tunggak dan kekuatan parti bagi terus mendokong harapan rakyat walaupun kini berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Namun gerak kerja perlu dite- ruskan bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa dekat di hati rakyat dengan menjalankan pelbagai kegiatan untuk manfaat masyarakat,” katanya semasa menutup Kursus Kepimpinan Wanita UMNO Bahagian Pontian anjuran bersama Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) di Dewan Maktab Rendah Sains Mara Tun Dr. Ismail, di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian, Muhamadan Ahmad; Ketua Wanita UMNO bahagian, Hasrunizah Hassan dan timbalannya, Norzita A. Kahar.
Hasni berkata, kepimpinan UMNO perlu terus kuat supaya tidak mudah digugat oleh pihak pembangkang walaupun mereka mempunyai keyakinan yang tinggi dalam memenangi hati rakyat.

“Pada saat mengharungi detik sukar ini, UMNO mesti dilihat dominan dan ke hadapan berbanding pihak pembangkang dengan program-program yang dapat membantu rakyat, bukan menerusi demonstrasi jalanan dan sebagainya tetapi mampu dilakukan dengan memberi penerangan yang jelas berdasarkan fakta tepat tentang sesuatu perkara yang berlaku.

“Banyak isu atau masalah tidak dapat ditangani di peringkat awal disebabkan kita tidak mengetahui pihak mana, jabatan dan agensi yang bertanggungjawab,” katanya sambil melahirkan keyakinan kepada 9,000 ahli Wanita UMNO Bahagian Pontian supaya terus menjadi suara penting perjuangan parti terbesar Melayu itu.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial