Warga Pekerja Disaran Tingkatkan Kebolehan

0905_MB3
Mohamed Khaled Nordin menyepak bola bagi menyempurnakan gimik perasmian Karnival Hari Pekerja Parlimen Pasir Gudang

 

PASIR GUDANG, 7 Mei – Kerajaan Negeri menyeru agar warga pekerja sentiasa berusaha memberi ruang pada diri mereka untuk memperbaiki diri selain mencari jalan dan kaedah terbaik untuk membina kemajuan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau menghargai usaha warga pekerja yang membanting keringat dan tenaga, mengerah idea dan seluruh pemikiran dalam usaha bagi membantu membangunkan diri, keluarga, negeri dan negara.

“Ketekunan dan rajinnya anda semua bekerja, membolehkan negara kita berada pada tahapnya hari ini iaitu menjadi sebuah negara yang aman dan makmur, berdaulat dan tetap mensejahterakan seluruh warganya.

“Maka sudah tentulah kita tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian sedia ada ini kerana setiap apa jua yang kita lakukan, sentiasa ada ruang bagi kita memperbaiki diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sukan Warga Industri, bersempena Karnival Hari Pekerja P159 Parlimen Pasir Gudang di Dataran Al-Hamra, Pusat Bandar Pasir Gudang, hari ini.

Selain itu, pameran kerjaya turut diadakan sepanjang Karnival tersebut berlansung yang melibatkan 30 buah syarikat di dalam negeri Johor yang menawarkan lebih 880 kekosongan jawatan yang disertai syarikat seperti Kumpulan Perubatan Penawar, KPJ Healthcare, Giant Hypermarket, United Malayan Land dan banyak lagi.

Ini merupakan penganjuran kali ke-2 Karnival Hari Pekerja yang dianjurkan oleh Pejabat Parlimen Pasir Gudang yang berlansung dari 6 hingga 8 Mei 2016.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Md Za’nal Misran dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan dan sedang merangka pelbagai jenis cara yang dapat memudahkan kehidupan rakyat di dalam negeri ini termasuk golongan pekerja.

“Dari segi perumahan, saya ingin menegaskan bahawa kita di Johor, kita akan tetap mengawal harga Rumah Mampu Milik iaitu berada pada harga di bawah RM150,000 dan kita akan tetap mempertahankan harga itu untuk golongan pekerja.

“Perbelanjaan kedua terbesar rakyat kita adalah barangan harian, atas sebab itulah kita mewujudkan Kedai Harga Patut Muafakat Johor (imCoop) dan kita dalam peringkat membuka kedai tersebut sedikit demi sedikit bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat kita.

“Rakyat kita juga banyak membelanjakan pendapatan mereka untuk keperluan pengangkutan, jadi atas sebab itulah kita bantu dengan memperkenalkan Bas Muafakat Johor yang kita sediakan secara percuma di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan,” jelas beliau.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial