WUJUDKAN JAWATANKUASA PEMIKIR DI SETIAP JABATAN AGAMA ISLAM

JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa agama di peringkat persekutuan dan negeri disaran untuk mewujudkan Jawatankuasa Pemikir yang mengkhusus dalam bidang dakwah.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata penubuhan jawatankuasa ini adalah penting kerana ia menjadi pusat maklumat dan analisis kelompok masyarakat yang melaksanakan kerja dakwah secara khusus.

Di samping itu juga, katanya ia secara tidak langsung dapat merancakkan lagi kerja-kerja dakwah.

"Kita perlu mengurus tadbir golongan saudara baru dengan lebih berkesan dan tersusun dengan mewujudkan program yang menjurus kepada kumpulan sasaran seperti yang ditekankan juga dalam Pelan Suara Hati Johor.

“Selain itu, pelan strategik dakwah juga perlu dilaksanakan dengan lebih fokus, mampan dan berdaya saing,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvesyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan di Pusat Islam Iskandar, di sini.

Mohamed Khaled berkata, menerusi Pelan Suara Hati Johor, saudara baru diletakkan sebagai antara golongan sasaran bagi memartabatkan Islam di Johor.

Katanya, pelbagai program telah dirangka termasuk mewujudkan pusat kegiatan saudara kita yang dikenali sebagai Darul Ukhuwah di setiap daerah dan modul saudara baru kita yang telah diseragamkan.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri  juga telah melaksanakan kelas pengukuhan kefahaman Islam dan mewujudkan sukarelawan Islam saudara Islam.

"Bagi merancakkan lagi kegiatan pengurusan saudara kita ini, pada tahun 2015, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) memperuntukkan RM18 juta untuk asnaf mualaf, kerja pembangunan, program dan kegiatan membabitkan saudara kita dan Orang Asli," katanya.

Mohamed Khaled berkata, sejak tahun 2008, Johor mencatatkan 9,973 saudara baru dengan purata antara 700 hingga 900 orang memeluk Islam setahun.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial