Wujudkan Semula Skim Sewa Beli – MB

JOHOR BAHRU:  kerajaan pusat diminta mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan semula bank atau institusi kewangan yang menawarkan skim sewa beli kepada rakyat yang mahu memiliki rumah.

Menteri Besar, Dato’  Mohamed Khaled Nordin, berkata rakyat ketika ini  berhadapan dengan pelbagai masalah untuk mendapatkan pinjaman perumahan, sekali gus menyukarkan usaha mereka untuk memiliki rumah.

"Kerajaan perlu memikirkan pendekatan sewa beli bagi rakyat yang ingin memiliki rumah, termasuk mewujudkan semula bank atau institusi yang menyediakan skim sewa beli.

"Kerajaan perlu mewujudkan badan yang dapat menjayakan skim sewa beli bagi memudahkan rakyat memiliki rumah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan  Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Rumah Mampu Milik oleh Johor Corporation (JCorp) di Bandar Dato' Onn.

Dalam ucapannya itu, beliau berkata JCorp menerusi anak syarikatnya Johor Land Bhd akan membina 8,000 unit rumah mampu milik dan kos rendah menjelang tahun 2020 bagi menjayakan Dasar Perumahan Rakyat Johor.

Katanya, 1,150 unit rumah mampu milik akan dibina di Bandar Dato' Onn sehingga  tahun 2017.

Beliau berkata, kerajaan negeri mensasarkan bakal membina 37,000 rumah mampu milik menjelang 2017/2018 dan bukan 28,000 unit sebagaimana yang disasarkan sebelum ini.

Dalam majlis itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan tanah bekas Kem Tebrau seluas 154.59 hektar di sini akan diambil alih oleh kerajaan negeri bagi pembangunan projek perumahan termasuk rumah mampu milik.

Ujarnya, pengambilalihan tanah itu akan dilakukan oleh JCorp.

"Dahulunya ia adalah tanah kem yang diswastakan kemudiannya. Sehingga kini pihak berkenaan tidak menjalankan sebarang pembangunan, jadi kerajaan tidak boleh biarkan keadaan ini berlarutan terlalu lama," katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial