Yayasan PBT Tangani Kemiskinan Bandar

latif bandi

PENUMPUAN pembangunan di Johor tidak hanya meliputi aspek ekonomi dan infrastruktur malah melibatkan pembangunan yang selari dengan keperluan dan kebajikan masyarakat.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif menubuhkan Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan (YPBT). Yayasan ini akan ditubuhkan di setiap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor.

Mengikut perancangan, YPBT dijangka memulakan operasi sepenuhnya pada Jun 2014. Dengan penubuhan ini, setiap PBT dikehendaki menyumbang 1 peratus daripada hasilnya kepada tabung yayasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Latif Bandi, berkata penubuhan YPBT antara lain bertujuan membantu mengurangkan tekanan kemiskinan bandar atau kemiskinan yang ada di sekitar kawasan PBT di samping meringankan beban keluarga yang memerlukan terutama kalangan berpendapatan rendah.

“Yayasan ini akan melaksanakan program seperti pembasmian kemiskinan, bantuan persekolahan, bantuan sewa rumah dan latihan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengenalpasti penerima yang layak, pihak yayasan akan bekerjasama dengan pemimpin masyarakat, ahli-ahli Majlis dan pihak lain yang terlibat.

“Buat permulaan ini, kita memerlukan bantuan penghulu dan ahli Majlis atau mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan maklumat keluarga yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing.

“Bantuan yang dihulurkan adalah bergantung kepada situasi dan keperluan pemohon. Setiap permohonan akan dinilai dan dipertimbangkan oleh Pengerusi yayasan berkenaan yang dilantik oleh Menteri Besar Johor,” katanya.

Selain itu, panel bagi menguruskan YPBT ini akan dianggotai oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) yang dilantik kerajaan negeri dan dua daripadanya dilantik atas jawatan iaitu Yang Dipertua dan Setiausaha PBT.

Menurut Datuk Latif, dana permulaan bagi setiap yayasan ini akan disumbangkan dari setiap 1 peratus daripada hasil cukai harta tahun semasa PBT terlibat.

“Pemotongan 1 peratus daripada hasil cukai itu akan dijadikan sebagai sumbangan tahunan untuk menggerakkan setiap program pembasmian kemiskinan bandar dan juga sumbangan yang dilihat perlu untuk meringankan lagi beban masyarakat,” katanya.

Dana lain yang akan diperolehi YPBT adalah melalui sumbangan luar seperti daripada individu, syarikat korporat dan NGO.

Katanya, penubuhan yayasan ini bukan bersifat sementara tetapi akan terus ditambah baik dari masa ke semasa bergantung kepada kebijaksanaan pengerusinya.

Latif berkata, setiap pengerusi pasti mempunyai idea yang berlainan untuk mengembangkan yayasan yang diterajui dan mesti mempunyai kemampuan menjana pendapatan sendiri selain sumbangan melalui potongan cukai PBT dan tajaan pihak lain.

“Mungkin setiap pengerusi boleh meluaskan pendapatan atau memperoleh dana melalui perniagaan yang dijalankan atau membangunkan tanah-tanah milik PBT yang belum dibangunkan dengan membina bangunan untuk disewakan dan menjadi tapak niaga,” katanya.

Melihat kepada perancangan penubuhannya, beliau percaya YPBT juga secara tidak langsung dapat menyemai rasa sayang masyarakat terhadap PBT dan mengeratkan hubungan PBT dengan masyarakat di kawasan masing-masing.

yayasanPBT

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial