Yayasan Pengerang Pastikan Semua Golongan Terima Manfaat

PENGERANG,‭ ‬16 Mac – ‭Yayasan‭ Pengerang‭ ‬dengan‭ ‬dana‭ ‬permulaan‬ RM150,000 dilancarkan Menteri
 Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin sempena lawatan kerja beliau ke Parlimen Pengerang, hari ini.

Yayasan yang ditubuhkan‭ ‬Pihak Berkuasa‭ ‬Tempatan (PBT) Pengerang itu merupakan sebuah platform‭ penyaluran ‬dana‭ ‬bagi melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui sumbangan 1 peratus daripada hasil kutipan tahunan.

Menurut Mohamed Khaled, dana yang dikumpul menerusi yayasan itu akan digunakan bagi membantu golongan memerlukan agar tiada kumpulan yang tercicir daripada menerima manfaat hasil pembangunan di Pengerang.

“Penubuhan yayasan ini merupakan ikhtiar masyarakat untuk menggembleng sumbangan daripada pelbagai pihak supaya mereka melaksanakan aktiviti atau program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

“Dana yang dikumpul akan digunakan bagi membantu golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, pesakit kronik, selain untuk tujuan pendidikan dan sebagainya.

“Sebagai permulaan, PBT Pengerang akan menyalurkan dana pertama berjumlah RM100,000 dan Kerajaan Negeri pula sebanyak RM50,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis yang diadakan di Dewan Bayu Damai, dekat sini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pengerang yang juga Menteri di Jabatan Perdana‭ ‬ ‭ ‬Menteri, Dato’ Sri Azalina Othman Said; Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim dan Yang Dipertua PBT Pengerang, Bukhari Abd Rahman.

Selain 1 peratus daripada hasil tahunan PBT Pengerang, sumbangan dana tersebut juga adalah daripada individu, badan korporat dan industri di Pengerang.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled menyerahkan watikah pelantikan kepada Azalina sebagai Pengerusi Lembaga Yayasan Pengerang.

Beliau turut menyerahkan sumbangan Yayasan Pengerang untuk Program Dialisis Yayasan Pengerang berjumlah RM10,000; Projek Pembangunan Ekonomi Ibu Tunggal Yayasan Pengerang‭ ‬(RM10,000);‭ ‬Projek‭ ‬ ‭ ‬Tuisyen‭ ‬Penyayang‭ ‬Yayasan‭ ‬Pengerang
(RM20,000); serta sumbangan kepada penduduk terpilih (RM6,000).

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial