Yuran Keahlian Perpustakaan Awam Di Mansuhkan

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri bersetuju untuk memansuhkan yuran keahlian di semua Perpustakaan Awam diseluruh Negeri Johor berkuat kuasa serta merta.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata inisiatif ini dilakukan bagi menggalakkan seluruh masyarakat di Negeri Johor untuk berkunjung ke perpustakaan awam di samping dapat menyemai semangat membaca.

Katanya lagi, yuran itu bukan sahaja dikecualikan untuk rakyat Johor, tetapi juga rakyat dari negeri lain yang tinggal di negeri ini.

“Ini merupakan inisiatif dari Kerajaan Negeri  untuk memupuk semangat membaca dikalangan masyarakat pada hari ini. Pengecualian ini diharap mampu meningkatkan lagi jumlah pengunjung ke perpustakaan dan inisiatif ini juga terbuka untuk rakyat dari negeri lain yang tinggal dan bermastautin di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya sempena Majlis Perasmian Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Setiap Hari, di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, di sini semalam.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru rakyat di Johor supaya meluangkan masa dengan aktiviti membaca bagi menambah ilmu pengetahuan dan  menyemai semangat membaca dikalangan masyarakat.

“Sebagai sebuah negeri maju, Johor dan rakyatnya mestilah membangun bersama-sama dari segi fizikal dan mental yang dicetuskan melalui nilai pembacaan.

“Dengan terbentuknya masyarakat yang membaca, kerajaan akan mempunyai warga yang berminda aktif, kreatif dan berfikiran untuk berinovasi selain mengaktifkan minda mereka untuk berfikiran waras, fokus, berfikiran terbuka dan mampu melahirkan modal insan yang berkebolehan melihat sesuatu daripada pelbagai perspektif berbeza,” katanya.

Jelas beliau, pada masa kini Kerajaan Negeri memberi penekanan yang besar untuk melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi dikalangan masyarakat.

Justeru itu, katanya sumber manusia perlu digerakkan secara produktif dan proses pendidikan dalam melahirkan modal insan berkualiti mestilah berterusan.

“Unsur kemahiran dan nilai itu harus diadun bersama agar modal insan yang bakal mewarnai Negeri Johor adalah modal insan yang mempunyai nilai tersendiri dalam erti kata sebenar,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial