ZAINAL CABAR KJ GANTUNG FAM

zainal-abidin-hassan

Isu berkaitan kedudukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin hangat apabila Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin digesa bertindak segera menggantung badan induk bola sepak negara itu, kata Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia Zainal Abidin Hassan.

Beliau mencabar Khairy menggantung FAM dalam tempoh satu minggu ini berikutan kenyataan menteri itu selepas pencapaian memalukan skuad bola sepak negara kebelakangan ini.

Bekas pemain kebangsaan itu turut menyifatkan tindakan dan kenyataan menteri tersebut merimaskan dan dianggap kebudak-budakan selain memburukkan lagi keadaan.

“Kita tahu betapa sedihnya situasi bola sepak dan jika beliau benar-benar mempunyai kuasa dan mempunyai tujuan yang baik untuk bola sepak, gantunglah FAM dalam masa seminggu ini dan kita tengok apa kebaikannya dan kalau baik, saya dan rakan sejawat terima kalau digantung demi kebaikan bola sepak.

“Saya sebagai seorang yang sudah lama dalam bola sepak ini sudah naik rimas dengan kenyataan beliau sebegitu di dalam surat khabar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, selaku menteri beliau tahu undang-undang dan syarat yang perlu diatasi dan bukan mengeluarkan kenyataan sebegitu.

“Kami inginkan seorang menteri sukan yang memperbaiki keadaan dan bukan hanya bola sepak tetapi untuk semua sukan dan bukan dengan cara pergi ke stadium, duduk bersama penyokong bersama-sama memalukan pasukan negara keranaini satu dorongan yang tidak baik selaku menteri.

“Kami mahu menteri yang memberikan dorongan atau memperbaiki sukan bola sepak, beliau pun pernah memegang jawatan tertinggi di FAM, pernah merancang program Myteam, tetapi gagal,” katanya lagi.

Zainal Abidin yang juga merupakan Ketua Jurulatih Pahang turut menegaskan sepatutnya Khairy Jamaluddin mencari perkara yang lebih baik untuk membangkitkan bola sepak dan bukan dengan kenyataan yang tidak membantu perkembangan sukan itu. – ASTRO ARENA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial