“Zakat Johor Blueprint” untuk Maksima Potensi Zakat

11709871_485633894933260_8021810419705225427_o

JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Johor dan badan berkaitan zakat di negeri ini disaran untuk merangka satu dokumen strategik atau  “Zakat Johor Blueprint” untuk membangunkan secara besar-besaran potensi zakat demi masa depan dan kemakmuran Johor.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata sudah tiba masanya institusi zakat menjadi elemen penting dalam perbendaharaan Johor dan masyarakatnya.

“Sebagai saluran yang memungkinkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi berlaku secara inklusif, kita mesti memberikan dimensi moden kepada zakat dalam sistem ekonomi moden negeri Johor.

“Telah sampai waktunya kita menjelaskan strategi kita untuk menjadikan zakat sebagai elemen suadaya ummah, sebagai instrumen membasmi kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian majlis Pembahagian Bungkusan & Sumbangan Hari Raya Kepada Anggota Keselamatan, Oku, Ibu Tunggal Serta Penyerahan Zakat Perniagaan di kediaman rasmi beliau di Saujana semalam.

Beliau berkata, bermula Januari sehingga Jun 2015, sejumlah RM19,925,476 juta zakat perniagaan telah dikutip berbanding RM17,266,898 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Ini adalah merupakan peningkatan pungutan zakat perniagaan sebanyak 15.40%,” katanya.

Katanya, zakat adalah salah satu mekasnisma perkongsian rezeki yang diterima dengan umat Islam yang lain.

“Dalam Islam kita diajar, bahawa dalam setiap harta yang kita miliki terdapat sebahagian hak orang lain. Dan perkara ini diterjemahkan melalui pengeluaran zakat oleh mereka yang mampu dan memenuhi syarat-syaratnya.

“ Maka Islam menganjurkan solusi yang adil. Jalan yang tidak membebankan. Jalan yang pragmatik. Iaitu perkongsian harta dan pendapatan melalui zakat, infak, hibah dan wakaf,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota keselamatan yang berkorban nyawa, masa dan tenaga semata-mata demi memastikan rakyat dapat mengecap nikmat sebuah keamanan.

“Pengorbanan para pejuang bangsa dan tanahair amat luar biasa. Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa terima kasih kita. Malah tiada apa yang kita lakukan akan setimpal dengan derma bakti yang mereka telah curahkan. 

“Justeru, pada kesempatan yang sederhana ini, kita di Johor, ingin melakukan perkara yang sewajarnya. Iaitu menginsafi dan mengenang pengorbanan perajurit dan ahli pasukan keselamatan kita.  

“Kerajaan Negeri bersetuju memberikan sumbangan berjumlah RM291,000 kepada balu, anggota pasukan keselamatan dari PDRM dan ATM yang ditimpa musibah kelainan upaya ataupun cedera,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Speaker Dewan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim dan Exco-exco Kerajaan Negeri.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial